Sejarah Kejuruteraan Elektronik Kejuruteraan elektronik

Pekerjaan di dalam kejuruteraan elektronik bermula pada era kemajuan teknologi telegraf pada lewat kurun ke-19 serta perkembangan industri radio dan telefon pada awal kurun ke-20. Orang ramai tertarik dengan penemuan medium terbaru yang berupaya memberi dan menerima maklumat dengan lebih pantas. Kebanyakan mereka yang terlibat di dalam penyiaran pada tahun 1920-an adalah bertaraf amatur, semasa tempoh beberapa tahun sebelum meletusnya Perang Dunia Pertama.[5]

Disiplin di dalam kejuruteraan elektronik moden berkembang dari kemajuan perubahan teknologi yang berlaku pada telefon, radio dan televisyen serta pembangunan sistem elektronik yang berskala besar semasa Perang Dunia Kedua untuk digunakan dalam pembangunan radar, sonar, sistem komunikasi dan persenjataan yang canggih. Semasa tempoh perang, ilmu ini dikenali sebagai kejuruteraan radio dan sehinggalah pada lewat dekat 1950-an, baharulah ianya dikenali sebagai kejuruteraan elektronik seperti yang dikenali sekarang.[6]

Makmal-makmal kajian elektronik (seperti Bell Labs di Amerika Syarikat) ditubuhkan dan dibiayai oleh syarikat-syarikat besar dalam industri radio, televisyen dan telefon telah membuatkan banyak kemajuan dalam bidang elektronik telah berjaya dihasilkan. Pada tahun 1948, transistor telah berjaya dicipta manakala pada tahun 1960, penciptaan litar bersepadu telah banyak merevolusikan industri elektronik.[7][8]

Elektronik awal

Pada tahun 1893, Nikola Tesla telah mempertontonkan kepada khalayak buat julung kalinya akan demonstrasi komunikasi radio. Hadir sama di dalam demonstrasi berkenaan adalah wakil dari Franklin Institute di Philadelphia dan juga Persatuan Kebangsaan Lampu Elektrik.[9]